Total Pageviews

Thursday, 19 January 2017

Bahaya dalam makanan




Cameron Highlands: Kemusnahan di sekitar kawasan tanah tinggi, di sini, bukan saja membabitkan penerokaan haram yang mengakibatkan kejadian tanah runtuh sehingga menyebabkan kematian selain isu pendatang asing tanpa izin, tetapi juga kesan jangka panjang terhadap hidupan berpunca daripada bahan pencemar kompleks atau racun makhluk perosak.
Setakat ini berdasarkan kajian yang dilakukan oleh beberapa pihak menemui beberapa bahan racun perosak yang diharamkan di permukaan air Sungai Terla, Sungai Bertam dan air paip di Berinchang, di sini, membabitkan bahan seperti endosulfan, endrine ketone, aldrin dan beberapa bahan lain.
Semua bahan racun perosak terbabit yang juga dikenali sebagai pencemar organik berterusan itu dikawal selia di bawah Konvensyen Stockholm mengenai POP yang turut ditandatangani Malaysia.
Kajian bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Rangkaian Tindakan Racun Perosak Rantau Asia dan Pasifik (PANAP) serta Dana Alam Sekitar Global Jepun yang dijalankan pada Ogos hingga Disember 2014 itu berjaya membuktikan terdapat bahan berbahaya dalam sungai dan kawasan tadahan air di kawasan terbabit.
Pengarah Eksekutif PANAP Sarojeni Rengam berkata, bahan berbahaya yang ditemui itu akan berakumulasi dalam lemak organisma dan stabil untuk jangka masa panjang.
Menurutnya, bahan itu juga mampu meniru fungsi semula jadi hormon manusia yang mungkin mengganggu sistem DNA manusia dan haiwan selain mampu menyebabkan kecacatan, kanser, kemandulan serta pelbagai masalah kesihatan lain.
“Sejak 2013, PANAP sudah membangkitkan isu pencemaran akibat penggunaan racun perosak di sini yang dikhuatiri mendatangkan bahaya kepada manusia dan satu kajian kelolaan UKM dilakukan bermula Ogos hingga Disember tahun lalu.
“Hasil kajian menunjukkan konsentrasi tertinggi racun perosak adalah di Sungai Terla terutama di kawasan pertanian dan ini menimbulkan dua isu iaitu bahan berbahaya itu pernah digunakan pada masa lalu dan sisanya masih wujud hingga kini dan isu di mana bahan itu masih digunakan ketika ini,” katanya selepas menghadiri seminar dalam meningkatkan kesedaran mengenai racun perosak, di sini, semalam.
Sarojeni berkata, pihak bertanggungjawab perlu mengambil langkah bagi menyebarkan maklumat mengenai perkara itu kepada pengguna kerana sumber air digunakan penduduk manakala hasil pertanian seperti sayur dan buah-buahan pula diedar di seluruh Malaysia.
“Tindakan segera juga perlu diambil untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahan berbahaya ini dan satu pergerakan global kini sudah bermula untuk melupuskan semua bahan berkenaan dan Malaysia perlu menyertainya.
“Polisi bernas harus digubal untuk memansuhkan terus penggunaan bahan berkenaan dan menggantikannya dengan cara lain yang lebih mesra alam,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands R Ramakrishnan berkata, hasil tinjauannya di beberapa kedai menjual racun perosak mendapati masih ada yang menjual racun perosak yang sudah diharamkan.
“Bahan berkenaan kesemuanya dibawa masuk dari negara luar serta dijual di sini secara sembunyi dan ini membuktikan masih terdapat petani atau peladang yang menggunakan bahan terlarang itu,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.