Total Pageviews

Monday 8 May 2017

khasiat-cendawan-susu-harimau



Selepas lebih kurang enam tahun menulis mengenai cendawan susu harimau atau nama saintifiknya Lignosus rhinocerus, kini syarikat LiGNO Biotech yang bertempat di Taman Perindustrian Balakong Jaya, Selangor telah menghasilkan tiga produk hasil daripada Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang dijalankan. Sesuatu yang membanggakan bagi produk keluaran tempatan.

Walaupun telah berada di pasaran tetapi mungkin ada yang belum mengetahui mengenai cendawan susu harimau. Sebenarnya cendawan susu harimau telah lama digunakan oleh nenek moyang kita dan Orang Asli kerana mereka cukup arif mengenai khasiat cendawan ini. Tambahan ia memiliki khasiat tidak ternilai sebagai khazanah alam yang bermanfaat untuk semua.

Cendawan ini digelar cendawan susu harimau kerana kononnya hanya ditemui di hutan yang mempunyai populasi harimau. Berdasarkan kisah dongeng, cendawan susu harimau dipercayai tumbuh di atas titisan susu harimau yang jatuh ke tanah semasa menyusukan anaknya.

Biasanya cendawan ditemui di hutan tanah tinggi seperti Lata Iskandar di Cameron Highland, Pahang.

Selama berabad, cendawan susu harimau digunakan sebagai herba untuk mengubati pelbagai masalah kesihatan. Sebenarnya cendawan susu harimau telah digunakan sejak abad ke-18 bagi mengubati pelbagai penyakit. Ketika itu setiap keluarga pasti menyimpan seketul kecil objek seperti batu sebagai ubat serba guna.

Apabila terdapat ahli keluarga dijangkiti batuk, selesema, demam, bengkak atau lemah badan, si ibu mengeluarkan dan mengasahnya atas permukaan tembikar untuk mendapat serbuk dan ditambah air.

Ketua Pegawai Eksekutif LiGNO Biotech Sdn. Bhd., Ng Szu Ting berkata, cendawan susu harimau mengandungi tiga bahagian utama iaitu payung (cap), batang (stem) dan ubi (sclerotium).

“Hanya bahagian ubinya sahaja digunakan kerana disitu segala nutrisi yang diperlukan cendawan susu harimau untuk pertumbuhan disimpan. Tuaian cendawan susu harimau dilakukan sebelum pertumbuhan batang dan payung bagi memastikan kandungan nutrisi tidak merosot hasil pertumbuhan bahagian lain,” katanya.

Bagi mendapatkan hasil berterusan, cendawan susu harimau ditanam menggunakan kaedah in-vitro yang lebih berkualiti berbanding hidup meliar. Ini bagi memastikan tanaman hidup sihat dengan mengikut piawaian yang telah ditetapkan bagi mengelakkan serangan seperti serangga, bakteria dan kulat.

Piawaian tersebut termasuk cara pengkulturan harus menggunakan kaedah pensterilan pada tahap maksimum dan kandungan nutrisi pada media pengkulturan sentiasa berada pada tahap optimum bagi mencapai pertumbuhan maksimum.

Terkawal

“Kajian dan penyelidikan terus dilakukan bagi mendapatkan hasil tuaian lebih baik dari semasa ke semasa.

“Berbanding tumbuhan hidup meliar, kita tidak dapat memastikan kualiti hasil tuaian berada pada tahap yang sama pada setiap kali tuaian kerana kandungan nutrisi dan kontaminasi pada tanah adalah berbeza pada masa,” katanya.

Berdasarkan potensi cendawan susu harimau dalam bidang perubatan, LiGNO Biotech telah mengambil inisiatif untuk menanam sendiri cendawan herba ini menggunakan medium organik yang bersih dalam keadaan terkawal bagi tujuan komersial.

Kaedah kultur tisu merupakan salah satu teknologi dalam bidang bioteknologi yang mampu meningkatkan hasil tuaian yang lebih tinggi.

Jika sebelum ini, Orang Asli hanya mampu mengumpul cendawan susu harimau sebanyak 50 kilogram dalam tempoh setahun, kini pihak syarikat mampu mengeluarkan hasil tuaian sebanyak 500 kilogram hanya dalam tempoh sebulan.

Ekoran kejayaan itu, LiGNO Biotech telah dianugerahkan sebagai syarikat pertama di dunia yang telah menghasilkan Cendawan Susu Harimau oleh The Malaysia Book of Records. Produk syarikat juga telah mendapat sijil Halal dan status organik (SOM) daripada badan-badan yang terlibat.

Seperti yang telah disebut, Cendawan Susu Harimau sangat jarang ditemui dan hanya ditemui di dalam hutan tropika. Kebiasaannya, kawasan hutan hanya didiami oleh masyarakat Orang Asli.

Mereka telah lama menggunakan cendawan susu harimau sebagai tonik untuk memberi tenaga kepada tubuh badan dan juga penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Untuk penyediaan tonik, mereka merebusnya dengan campuran akar pokok Tongkat Ali dan airnya diminum.

Sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an, masyarakat Melayu menggunakan cendawan susu harimau untuk membantu merawat kanser payudara dan paru-paru serta ketumbuhan dan bengkak. Masyarakat Cina percaya ia membantu merawat radang paru-paru, resdung, asma, sinus, batuk dan selesema. Cendawan susu harimau juga digunakan untuk memulih kesihatan badan dan tenaga selepas melahirkan anak atau sakit.

Semua penyakit ini disebut berdasarkan penggunaan masyarakat pada waktu tersebut untuk proses rawatan.

Sehingga kini, sebahagian masyarakat Cina masih menggunakan cendawan susu harimau bagi membantu meningkatkan tahap kesihatan. Namun begitu, penggunaan CSH ini agak tenggelam dalam kalangan masyakarat Melayu selepas era pemodenan bidang perubatan.

Melihat kepada khasiat cendawan tersebut yang banyak, timbul persoalan mengapa ia tidak dikomersialkan?

Masalah utama ialah ia amat sukar ditemui dan wujud sebagai cendawan tunggal di tengah-tengah hutan. Bagi mempopularkan khasiat cendawan susu rimau, ia perlu dibiakkan dengan apa cara sekalipun.

Bagi tujuan pengkomersialan LiGNO Biotech telah menjalinkan kerjasama dengan Pegawai Penyelidik Prinsipal, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Tan Chon Seng, yang telah mengambil masa selama lebih kurang lapan tahun melakukan penyelidikan hanya untuk mencari kaedah dan media pengkulturan cendawan susu harimau yang sesuai bagi penghasilan optimum.

Segala kebaikan cendawan susu harimau dari segi saintifik telah dikaji hasil kerjasama dengan beberapa universiti terkemuka tanah air seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Kolej Antarabangsa Sedaya dan Universiti Nottingham, Universiti Macau di China dan akan datang Universiti Nottingham di United Kingdom.

Dr. Tan Chon Seng juga merupakan Penasihat Teknikal kepada LiGNO Biotech Sdn. Bhd. Kajian telah terbukti menunjukkan pengambilan cendawan susu harimau tiada kesan sampingan negatif dan selamat diambil oleh kanak-kanak.

Hasil kajian juga menunjukkan cendawan susu harimau mengandungi ciri anti-radang, anti-oksida, anti-alergi, anti-asma dan bertindak sebagai modulator dalam sistem imunisasi tubuh badan. Cendawan susu harimau mampu melegakan masalah eczema, sakit sendi dan mengurangkan kesan sampingan rawatan kemoterapi pesakit kanser. Secara umumnya, cendawan susu harimau mampu menambah baik tahap kesihatan untuk hidup lebih berkualiti.

Serbuk Cendawan Susu Harimau dan produk yang dihasilkan oleh syarikat telah dieksport ke Singapura, Timur Tengah, China, Jepun dan Amerikat Syarikat. LiGNO Biotech Sdn Bhd telah mendapat pengiktirafan dan bantuan dari pihak kerajaan, antaranya status Bionexus dan kerjasama dengan SME Corporation, Biotech Corporation di bawah program BioNext seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Hasilnya terdapat tiga produk dalam pasaran.

Maklumat lanjut mengenai cendawan susu harimau boleh layari facebook Dr. TigerMilk - The Respiratory Care Expert atau laman web www.tigerus.com.my.
UBI atau sclerotium cendawan susu harimau yang digunakan untuk tujuan perubatan.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.