BAHAYA
MENGGUNAKAN PERKHIDMATAN PERGIGIAN OLEH PENGAMAL PERGIGIAN HARAM
Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) sedia maklum dan memandang serius mengenai kegiatan pengamal
pergigian haram (illegal dental practitioners) yang semakin berleluasa dalam
menawarkan perkhidmatan pergigian kosmetik seperti pemasangan pendakap gigi
(braces) dan venir pergigian (dental veneers).
KKM turut berasa khuatir
kerana orang ramai masih kurang sedar bahawa mereka yang menawarkan prosedur
tersebut adalah tidak bertauliah akibat mudah tertarik dengan tawaran harga
yang dianggap murah.
KKM ingin mengingatkan orang
awam supaya peka dan mengambil berat risiko yang akan dialami sekiranya
mendapatkan perkhidmatan dari pengamal pergigian haram yang tidak bertauliah.
Kesan buruk atau komplikasi
yang boleh berlaku adalah seperti kesakitan, infeksi, ulser mulut, gigi
longgar, pergerakan gigi yang luar biasa, karies gigi, kehilangan gigi dan gusi
yang bengkak serta bernanah.
Lebih membimbangkan, risiko
dijangkiti virus HIV dan Hepatitis adalah tinggi kerana pembasmian kuman ke
atas peralatan tidak dilakukan dengan sempurna.
Sejak akhir ini, KKM
menerima semakin banyak aduan daripada pelanggan yang telah mengalami
komplikasi atau kesan buruk daripada perkhidmatan tidak professional yang
ditawarkan oleh pengamal pergigian haram.
Ini termasuk perkhidmatan
pembuatan gigi palsu, penskaleran (scaling) dan pemutihan gigi (tooth
whitening). ‘Tooth whitening’ dengan produk yang dijual di pasaran terbuka
(kepekatan asid kurang dari 0.01%) boleh diguna pakai sendiri
(self-application) oleh orang awam.
Namun begitu, prosedur
pergigian yang menggunakan produk ‘tooth whitening’ melebihi kepekatan yang
ditetapkan, perlu dijalankan oleh pengamal pergigian bertauliah iaitu doktor
gigi yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia di bawah Akta Pergigian
1971 serta menjalankan perkhidmatan di premis kesihatan yang berdaftar di bawah
Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
Orang awam yang mempunyai
maklumat tentang kegiatan pengamal pergigian yang mencurigakan digesa untuk
tampil dan menyalurkan aduan rasmi kepada Bahagian Kesihatan Pergigian KKM agar
penguatkuasaan boleh dijalankan dan tindakan undang-undang yang tegas dapat
diambil (Telefon: 03-88834215, emel: ohd@moh.gov.my).
Sejak tahun 2015 sehingga
kini, sejumlah 46 aduan telah diterima mengenai pengamal pergigian haram.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 18 kes telah berjaya dibawa ke mahkamah.
Dalam kes terbaharu yang
didakwa di negeri Johor pada 30 Mac 2017 yang lalu, tertuduh telah dikenakan
denda maksimum sebanyak RM300,000 atau penjara selama 3 bulan.
Justeru, KKM menyeru orang
ramai untuk mendapatkan sebarang rawatan pergigian di klinik pergigian kerajaan
mahupun swasta yang berdaftar dan dilakukan oleh dengan pengamal pergigian yang
bertauliah.
Pendaftaran pengamal
pergigian boleh disemak di laman web Majlis Pergigian Malaysia di
mdc.moh.gov.my atau dpims.moh.gov.my
DATUK DR. NOOR HISHAM
ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
MALAYSIA
4 Mei 2017
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.