Total Pageviews

Monday 8 May 2017

Dentist Haram


BAHAYA MENGGUNAKAN PERKHIDMATAN PERGIGIAN OLEH PENGAMAL PERGIGIAN HARAM




Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia maklum dan memandang serius mengenai kegiatan pengamal pergigian haram (illegal dental practitioners) yang semakin berleluasa dalam menawarkan perkhidmatan pergigian kosmetik seperti pemasangan pendakap gigi (braces) dan venir pergigian (dental veneers).

KKM turut berasa khuatir kerana orang ramai masih kurang sedar bahawa mereka yang menawarkan prosedur tersebut adalah tidak bertauliah akibat mudah tertarik dengan tawaran harga yang dianggap murah.

KKM ingin mengingatkan orang awam supaya peka dan mengambil berat risiko yang akan dialami sekiranya mendapatkan perkhidmatan dari pengamal pergigian haram yang tidak bertauliah.

Kesan buruk atau komplikasi yang boleh berlaku adalah seperti kesakitan, infeksi, ulser mulut, gigi longgar, pergerakan gigi yang luar biasa, karies gigi, kehilangan gigi dan gusi yang bengkak serta bernanah.

Lebih membimbangkan, risiko dijangkiti virus HIV dan Hepatitis adalah tinggi kerana pembasmian kuman ke atas peralatan tidak dilakukan dengan sempurna.

Sejak akhir ini, KKM menerima semakin banyak aduan daripada pelanggan yang telah mengalami komplikasi atau kesan buruk daripada perkhidmatan tidak professional yang ditawarkan oleh pengamal pergigian haram.

Ini termasuk perkhidmatan pembuatan gigi palsu, penskaleran (scaling) dan pemutihan gigi (tooth whitening).

‘Tooth whitening’ dengan produk yang dijual di pasaran terbuka (kepekatan asid kurang dari 0.01%) boleh diguna pakai sendiri (self-application) oleh orang awam.

Namun begitu, prosedur pergigian yang menggunakan produk ‘tooth whitening’ melebihi kepekatan yang ditetapkan, perlu dijalankan oleh pengamal pergigian bertauliah iaitu doktor gigi yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia di bawah Akta Pergigian 1971 serta menjalankan perkhidmatan di premis kesihatan yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kegiatan pengamal pergigian yang mencurigakan digesa untuk tampil dan menyalurkan aduan rasmi kepada Bahagian Kesihatan Pergigian KKM agar penguatkuasaan boleh dijalankan dan tindakan undang-undang yang tegas dapat diambil (Telefon: 03-88834215, emel: ohd@moh.gov.my).

Sejak tahun 2015 sehingga kini, sejumlah 46 aduan telah diterima mengenai pengamal pergigian haram. Sepanjang tempoh itu, sebanyak 18 kes telah berjaya dibawa ke mahkamah.

Dalam kes terbaharu yang didakwa di negeri Johor pada 30 Mac 2017 yang lalu, tertuduh telah dikenakan denda maksimum sebanyak RM300,000 atau penjara selama 3 bulan.

Justeru, KKM menyeru orang ramai untuk mendapatkan sebarang rawatan pergigian di klinik pergigian kerajaan mahupun swasta yang berdaftar dan dilakukan oleh dengan pengamal pergigian yang bertauliah.

Pendaftaran pengamal pergigian boleh disemak di laman web Majlis Pergigian Malaysia di mdc.moh.gov.my atau dpims.moh.gov.my.


DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA


4 Mei 2017

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.