Total Pageviews

Monday, 8 May 2017

cabaran-hidup-motivasi-addaem


Membesar di kawasan estet bukanlah suatu pengalaman yang indah buat lelaki ini. Namun, keperitan yang dilalui mengajarnya tentang makna kehidupan sebenar sehingga dia mencapai kejayaan hidup. Muhammad Addaem Mikhail Chandran, 37, tidak pernah melupakan pengalamannya sewaktu dibesarkan dalam kemisikinan dan konflik keluarga.

Lebih mencabar, abang dan kakaknya tidak dapat meneruskan persekolahan ke peringkat lebih tinggi kerana faktor kewangan dan persekitaran. Addaem yang juga menantu kepada pakar motivasi terkenal, Prof. Dr. Muhaya Mohamad, tidak pernah berputus asa malah bercita-cita untuk mengubah kehidupannya.

Walaupun pernah menjawat Pengurus Kumpulan P&G, lelaki kacukan Cina-India ini merasakan kehidupannya tidak sempurna.

Keadaan dan pengalaman getir yang dilalui semasa membesar, banyak mempengaruhi perasaan Addaem walaupun sudah berjaya dalam kehidupan. Addaem masih mencari sesuatu yang mampu mengisi kekosongan yang dirasai Syukur yang tidak terhingga apabila segala-galanya berubah.

Ramadan 2009 merupakan permulaan hidup penuh keredaan Allah SWT apabila beliau mendapat hidayah untuk memeluk Islam. Keindahan Islam membuatkan perasaan terhadap setiap perkara yang dilalui dahulu telah berubah. Addaem sudah mengenal dan mendalami konsep kemaafan dengan lebih sempurna. Addaem mengakui bahawa kemampuan untuk memaafkan itu bukanlah hanya lahir dari diri sendiri tetapi dengan rahmat dan bantuan Allah SWT. Kini, selain ibunya yang sentiasa menjadi pedoman hidup, Addaem juga yakin mendiang bapanya telah menjadi seorang guru dan merupakan pembakar semangat dan motivasi sehingga mencapai kejayaan pada hari ini. Derita hidup yang dilaluinya pada zaman kanak-kanak dan remaja turut mengajarnya tentang erti kesungguhan tanpa putus asa.


Hidayah

Bercerita tentang pengalaman hidayahnya, waktu itu, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan hampir menginjak kepada waktu Maghrib. Tanpa disedari, Addaem terdengar sebuah lagu berunsurkan doa taubat ketika sedang menukar saluran radio.

“Apabila mendengar bait-bait lirik yang dialunkan, hati saya menjadi sayu dan sedih,” ujarnya yang berkahwin dengan anak sulung Dr. Muhaya, Dr. Noor Aniah Azmi pada 27 Januari 2013.

Cerita Addaem lagi, kali pertama dia mengucap dua kalimah syahadah melalui perbualan telefon dengan seorang rakan Muslim dari Singapura. Tiga minggu selepas itu, Addaem nekad dan terus memeluk Islam secara rasmi di pejabat Majlis Agama Islam Selangor pada 10 Oktober 2009.

Walaupun Addaem banyak mencari maklumat tentang Islam dalam Internet, Addaem tidak pernah jemu untuk menambah ilmu Islam. Apa yang menariknya kata Addaem, selepas itu semua urusannya dipermudahkan Allah SWT.

Sebagai contoh, walaupun beliau bekerja di sebuah syarikat mutlinasional, majikannya faham dan menghormati masa untuk Addaem bersolat.

Di sebalik kegigihan Addaem memeluk Islam, keluarganya tidak dapat menerima keputusan itu malah ibunya yang tinggal bersamanya sebelum itu juga mula menjauhkan diri.

Maklumlah, Addaem merupakan anak harapan keluarga sementelah mereka sekeluarga bukanlah datang daripada keluarga yang senang. Sebagai anak, Addaem tetap berusaha memperbaiki hubungan tersebut dan kini dia sekeluarga kembali pulih seperti sedia kala dan bertambah erat.

Selepas empat bulan memeluk Islam, Addaem menjejakkan kaki ke Mekah buat pertama kali selepas empat bulan memeluk Islam.

Walaupun beliau takut untuk pergi ke Mekah memandangkan dia bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci membawa dosa sebagai hamba tetapi dia bersyukur kerana segala-galanya dipermudahkan.

“Ketika berada di sana, setiap detik dan pengalaman yang dilalui membuka hati saya untuk mendalami dan mendekatkan lagi diri dengan Yang Maha Esa. Saya juga pernah disuruh membaca al-Quran oleh seorang lelaki Arab yang baru saya kenal. Ketika itu saya masih lagi belum mengenal huruf al-Quran.

“Bermula daripada situ, saya perlahan-lahan belajar mengenal huruf al-Quran melalui Internet selain menghadiri kelas mengaji bagi memantapkan bacaan saya,” jelasnya yang berasal dari Kota Bharu, Perak.

Bahkan berada di tanah suci Mekah cukup mengusik jiwanya kerana di sanalah dia mendapat hidayah untuk mendirikan rumah tangga pada Ramadan 2013. Biarpun tidak pernah ‘berdating’ dan bercinta dengan anak sulung figura motivasi ini, Addaem berkata, dia memang mahu mengikut syariat Islam yang mahu menjaga batas pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram.
Selepas mendapat cahaya mata pertama, Noor Yasmein Chandran, Addaem membuat keputusan untuk meletakkan jawatan di sebuah syarikat multinational terkemuka untuk menumpukan masa bersama keluarga.

Kini,Addaem merupakan tunjang penubuhan Pusat Mata dan Lasik Prof. Muhaya dan dia merupakan Pengarah Urusan pusat rawatan mata yang bertapak di Kajang, Selangor.

Bercerita tentang masa depannya, Addaem kini giat dalam urusan perniagaan. Selain itu, dia juga aktif dalam bidang pembangunan jati diri dan merupakan seorang pelatih korporat yang bertauliah.

Addaem meneruskan pendedahan, bahawa Islam menjadikan dirinya lebih arif, matang, bertenaga dan yakin tentang apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian dan dia merasakan hidup sangat lengkap. Dalam masa yang sama, Addaem berhasrat untuk menyampaikan dakwah Islam kepada keluarga dan rakan-rakan yang bukan beragama Islam.

“Islam sangat indah. Saya hendak beritahu kepada mereka tentang keindahan Islam namun pada masa yang sama saya sanggat bangga menjadi seorang India yang beragama Islam. Bagi saya, Islam merupakan gaya hidup yang sempurna untuk saya berjaya dunia dan akhirat,” katanya mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.