Selepas
lebih kurang enam tahun menulis mengenai cendawan susu harimau atau nama
saintifiknya Lignosus rhinocerus, kini syarikat LiGNO Biotech yang bertempat di
Taman Perindustrian Balakong Jaya, Selangor telah menghasilkan tiga produk
hasil daripada Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang dijalankan. Sesuatu
yang membanggakan bagi produk keluaran tempatan.
Walaupun
telah berada di pasaran tetapi mungkin ada yang belum mengetahui mengenai
cendawan susu harimau. Sebenarnya cendawan susu harimau telah lama digunakan
oleh nenek moyang kita dan Orang Asli kerana mereka cukup arif mengenai khasiat
cendawan ini. Tambahan ia memiliki khasiat tidak ternilai sebagai khazanah alam
yang bermanfaat untuk semua.
Cendawan
ini digelar cendawan susu harimau kerana kononnya hanya ditemui di hutan yang
mempunyai populasi harimau. Berdasarkan kisah dongeng, cendawan susu harimau
dipercayai tumbuh di atas titisan susu harimau yang jatuh ke tanah semasa
menyusukan anaknya.
Biasanya
cendawan ditemui di hutan tanah tinggi seperti Lata Iskandar di Cameron
Highland, Pahang.
Selama
berabad, cendawan susu harimau digunakan sebagai herba untuk mengubati pelbagai
masalah kesihatan. Sebenarnya cendawan susu harimau telah digunakan sejak abad
ke-18 bagi mengubati pelbagai penyakit. Ketika itu setiap keluarga pasti
menyimpan seketul kecil objek seperti batu sebagai ubat serba guna.
Apabila
terdapat ahli keluarga dijangkiti batuk, selesema, demam, bengkak atau lemah
badan, si ibu mengeluarkan dan mengasahnya atas permukaan tembikar untuk
mendapat serbuk dan ditambah air.
Ketua
Pegawai Eksekutif LiGNO Biotech Sdn. Bhd., Ng Szu Ting berkata, cendawan susu
harimau mengandungi tiga bahagian utama iaitu payung (cap), batang (stem) dan
ubi (sclerotium).
“Hanya
bahagian ubinya sahaja digunakan kerana disitu segala nutrisi yang diperlukan
cendawan susu harimau untuk pertumbuhan disimpan. Tuaian cendawan susu harimau
dilakukan sebelum pertumbuhan batang dan payung bagi memastikan kandungan
nutrisi tidak merosot hasil pertumbuhan bahagian lain,” katanya.
Bagi
mendapatkan hasil berterusan, cendawan susu harimau ditanam menggunakan kaedah
in-vitro yang lebih berkualiti berbanding hidup meliar. Ini bagi memastikan
tanaman hidup sihat dengan mengikut piawaian yang telah ditetapkan bagi
mengelakkan serangan seperti serangga, bakteria dan kulat.
Piawaian
tersebut termasuk cara pengkulturan harus menggunakan kaedah pensterilan pada
tahap maksimum dan kandungan nutrisi pada media pengkulturan sentiasa berada
pada tahap optimum bagi mencapai pertumbuhan maksimum.
“Kajian
dan penyelidikan terus dilakukan bagi mendapatkan hasil tuaian lebih baik dari
semasa ke semasa.
“Berbanding
tumbuhan hidup meliar, kita tidak dapat memastikan kualiti hasil tuaian berada
pada tahap yang sama pada setiap kali tuaian kerana kandungan nutrisi dan
kontaminasi pada tanah adalah berbeza pada masa,” katanya.
Berdasarkan
potensi cendawan susu harimau dalam bidang perubatan, LiGNO Biotech telah
mengambil inisiatif untuk menanam sendiri cendawan herba ini menggunakan medium
organik yang bersih dalam keadaan terkawal bagi tujuan komersial.
Kaedah
kultur tisu merupakan salah satu teknologi dalam bidang bioteknologi yang mampu
meningkatkan hasil tuaian yang lebih tinggi.
Jika
sebelum ini, Orang Asli hanya mampu mengumpul cendawan susu harimau sebanyak 50
kilogram dalam tempoh setahun, kini pihak syarikat mampu mengeluarkan hasil
tuaian sebanyak 500 kilogram hanya dalam tempoh sebulan.
Ekoran
kejayaan itu, LiGNO Biotech telah dianugerahkan sebagai syarikat pertama di
dunia yang telah menghasilkan Cendawan Susu Harimau oleh The Malaysia Book of
Records. Produk syarikat juga telah mendapat sijil Halal dan status organik
(SOM) daripada badan-badan yang terlibat.
Seperti
yang telah disebut, Cendawan Susu Harimau sangat jarang ditemui dan hanya
ditemui di dalam hutan tropika. Kebiasaannya, kawasan hutan hanya didiami oleh
masyarakat Orang Asli.
Mereka
telah lama menggunakan cendawan susu harimau sebagai tonik untuk memberi tenaga
kepada tubuh badan dan juga penawar kepada pelbagai jenis penyakit. Untuk
penyediaan tonik, mereka merebusnya dengan campuran akar pokok Tongkat Ali dan
airnya diminum.
Sekitar
tahun 1950-an hingga 1960-an, masyarakat Melayu menggunakan cendawan susu
harimau untuk membantu merawat kanser payudara dan paru-paru serta ketumbuhan
dan bengkak. Masyarakat Cina percaya ia membantu merawat radang paru-paru,
resdung, asma, sinus, batuk dan selesema. Cendawan susu harimau juga digunakan
untuk memulih kesihatan badan dan tenaga selepas melahirkan anak atau sakit.
Semua
penyakit ini disebut berdasarkan penggunaan masyarakat pada waktu tersebut
untuk proses rawatan.
Sehingga
kini, sebahagian masyarakat Cina masih menggunakan cendawan susu harimau bagi
membantu meningkatkan tahap kesihatan. Namun begitu, penggunaan CSH ini agak
tenggelam dalam kalangan masyakarat Melayu selepas era pemodenan bidang
perubatan.
Melihat
kepada khasiat cendawan tersebut yang banyak, timbul persoalan mengapa ia tidak
dikomersialkan?
Masalah
utama ialah ia amat sukar ditemui dan wujud sebagai cendawan tunggal di
tengah-tengah hutan. Bagi mempopularkan khasiat cendawan susu rimau, ia perlu
dibiakkan dengan apa cara sekalipun.
Bagi
tujuan pengkomersialan LiGNO Biotech telah menjalinkan kerjasama dengan Pegawai
Penyelidik Prinsipal, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia
(MARDI), Dr. Tan Chon Seng, yang telah mengambil masa selama lebih kurang lapan
tahun melakukan penyelidikan hanya untuk mencari kaedah dan media pengkulturan
cendawan susu harimau yang sesuai bagi penghasilan optimum.
Segala
kebaikan cendawan susu harimau dari segi saintifik telah dikaji hasil kerjasama
dengan beberapa universiti terkemuka tanah air seperti Universiti Malaya (UM),
Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR),
Universiti Kolej Antarabangsa Sedaya dan Universiti Nottingham, Universiti
Macau di China dan akan datang Universiti Nottingham di United Kingdom.
Dr.
Tan Chon Seng juga merupakan Penasihat Teknikal kepada LiGNO Biotech Sdn. Bhd.
Kajian telah terbukti menunjukkan pengambilan cendawan susu harimau tiada kesan
sampingan negatif dan selamat diambil oleh kanak-kanak.
Hasil
kajian juga menunjukkan cendawan susu harimau mengandungi ciri anti-radang,
anti-oksida, anti-alergi, anti-asma dan bertindak sebagai modulator dalam
sistem imunisasi tubuh badan. Cendawan susu harimau mampu melegakan masalah
eczema, sakit sendi dan mengurangkan kesan sampingan rawatan kemoterapi pesakit
kanser. Secara umumnya, cendawan susu harimau mampu menambah baik tahap
kesihatan untuk hidup lebih berkualiti.
Serbuk
Cendawan Susu Harimau dan produk yang dihasilkan oleh syarikat telah dieksport
ke Singapura, Timur Tengah, China, Jepun dan Amerikat Syarikat. LiGNO Biotech
Sdn Bhd telah mendapat pengiktirafan dan bantuan dari pihak kerajaan, antaranya
status Bionexus dan kerjasama dengan SME Corporation, Biotech Corporation di
bawah program BioNext seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Hasilnya terdapat tiga produk dalam pasaran.
Maklumat
lanjut mengenai cendawan susu harimau boleh layari facebook Dr. TigerMilk - The
Respiratory Care Expert atau laman web www.tigerus.com.my.
UBI
atau sclerotium cendawan susu harimau yang digunakan untuk tujuan perubatan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.