Total Pageviews

Saturday, 15 October 2016

Makanan dimodify genetik


Kaji semula kelulusan makanan ubah suai genetik



Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Malaysia supaya mengkaji semula empat bahan yang telah diubah suai genetik (GM) yang telah diluluskan untuk penggunaan manusia dan haiwan selaras dengan penemuan terbaharu yang mendedahkan potensi keracunannya kepada manusia dan haiwan.
Empat bahan tersebut (jagung MON810, MON863 dan NK603, serta kacang soya GTS-40-3-2) telah diluluskan beberapa tahun lepas. Pada masa keputusan dibuat, contohnya dalam kes GTS-40-3-2 (Kacang Soya Roundup Ready), yang diluluskan pada 1998, penemuan daripada ujian memberi makan kepada haiwan dalam tempoh yang panjang tidak diperolehi oleh penilai dan pentadbir untuk menilai risiko dengan sempurna.
Satu hal yang perlu diberi perhatian, penyelidikan terbaharu, yang dilakukan untuk tempoh  dua tahun jangka hayat tikus, menunjukkan jagung NK603 mencetuskan kesan kronik kepada hormon bergantung kepada jantina. Kematian tikus betina adalah dua hingga tiga kali lebih tinggi, kebanyakannya akibat tumor besar payudara dan kecacatan fungsi pituitari. Tikus jantan mengalami kesan pada hati dan buah pinggang serta tumor besar yang ketara.
Tanda keracunan hati dan buah pinggang pada tikus yang diberi makan MON810, MON863 dan jagung NK603 sudah pun terbukti apabila data Monsanto untuk bahan-bahan ini dianalisa semula pada 2009. Dalam kes NK603, tanda-tanda awal keracunan ini dapat dilihat pada kerosakan hati dan buah pinggang yang teruk dalam tempoh dua tahun. Tumor yang pertama hanya muncul empat hingga tujuh bulan ketika kajian dan memuncak pada 18 bulan.
Penyelidikan jangka panjang mempersoalkan kelulusan kebanyakan, jika tidak semua, makanan GM setakat ini. Ini kerana makanan GM di seluruh dunia diluluskan berasaskan kajian terhadap pemakanan tikus untuk tempoh 90 hari kebanyakannya. Seperti yang ditunjukkan oleh kajian NK603, ujian 90 hari yang dijalankan ke atas makanan GM terlalu singkat untuk melihat kesan seperti kerosakan organ dan kanser yang mengambil masa untuk muncul. Tiada satu pun daripada empat makanan GM yang dipersoalkan ini diuji dalam kajian memberi makan sepanjang hayat sewaktu diluluskan di Malaysia, seperti mana yang kini dilakukan untuk jagung NK603. 
Oleh itu, sehubungan dengan maklumat dan bukti terbaharu ini, kami menggesa kerajaan Malaysia mengkaji semula keputusan pentadbiran dan pengakuan oleh Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan berikutnya berkaitan empat bahan GM ini, menurut Seksyen 18(1) Akta Biokeselamatan  2007 dan selaras dengan Langkah Berjaga-jaga.
Surat Kepada Pengarang - 6 Februari 2013



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.