rujukan: http://www.mummynemo.com
KUALA LUMPUR, 8 MAC 2012: Dua tahun menderita
menghidap penyakit kanser kolon, penyanyi Zainal Abidin, mengakui kini dirinya
telah pun bebas daripada penyakit tersebut. Jelas Zainal Abidin, ketika
mendapat tahu menghidap kanser, penyakitnya telah pun disahkan berada di peringkat ketiga, namun dia bersyukur
setelah menjalani rawatan tradisional cina di Klang, akhirnya kini dia bebas daripada belenggu penyakit
berkenaan.
“Saya disahkan menghidap
kanser kolon dua tahun lalu. Saya memang terkejut kerana selain kanser saya
juga mempunyai tiga lagi penyakit lain iaitu darah tinggi, kencing manis dan
sakit jantung. Apabila disahkan menghidap kanser, di tahap ketiga, pada mulanya
saya mahu mendapatkan rawatan di hospital. “Namun apabila memikirkan rawatan di
hospital kelak akan membuatkan saya perlu makan ubat-ubatan yang banyak serta
mempunyai kesan lain pula, saya nekad mencari pusat rawatan tradisional cina.
Alhamdulillah setelah setahun berubat saya pergi semula ke hospital bagi
melakukan pemeriksaan dan disahkan bebas kanser,” katanya ketika ditemui pada
sidang media majlis pelancaran konsert The Legendary Concert 2012 , semalam di
Hard Rock Café, KL.
Malah jelas pelantun lagu
Hijau ini lagi, bukan sahaja kansernya pulih bahkan tiga lagi penyakitnya turut
sembuh. Bersyukur dengan apa yang berlaku, kini jelas Zainal Abidin, fokusnya
pada kerjaya seninya semula. Tutur Zainal Abidin, dia kini baru sahaja muncul
dengan single baru berjudul Kami. Malah dua lagi single barunya berjudul Alam
serta Tercipta Untukmu bakal diperkenalkan kepada peminat. “Kini badan saya
sihat dan saya rasa lebih aktif dan bertenaga. Saya telah pun muncul dengan
single baru berjudul Kami yang akan dimainkan di radio tidak lama lagi. Dalam
pada itu, dua lagi single saya juga akan diperkenalkan selepas itu. “Semua itu
merupakan satu strategi untuk memberitahu peminat bahawa saya kini aktif dan
album baru saya akan berada di pasaran tidak lama lagi.”katanya
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.