Berpantang
maut sebelum ajal
Oleh MUZLINA ABU BAKAR04/04/2011
BUKAN mudah untuk memujuk primadona ini berkongsi kedukaan yang sudah lama bersarang di lubuk jiwanya. Alasan yang diberikan, dia enggan penderitaan yang dilaluinya akan mudah menarik simpati ramai.
Selama ini pun, apa saja pandangan buruk
yang tidak dibahaskan masyarakat mengenai lara yang dilalui oleh golongan anak
seni sepertinya dan kerana itu kali ini, seniwati unggulan, Datuk Sarimah Ahmad
lebih senang berdiam diri.
Namun, kehendak Hits yang tidak pernah
henti memujuknya untuk tampil di media berkongsi cerita mengenai penyakit
kanser yang dihidapinya mencairkan hati beliau.
Pertemuan diatur di sebuah hotel di Subang
Jaya, Selangor (berdekatan dengan kediamannya) untuk diinterbiu baru-baru ini.
Kejelitaan seniwati yang mula menempa
kemasyhuran di era studio perfileman hitam putih di Jalan Ampas masih belum
luntur. Dia hadir dengan imej yang cukup sederhana, bertudung hitam putih dan
berkain serta blaus panjang hitam.
Aktres Sarimah atau lebih mesra dipanggil
sebagai Kak Mah pagi itu hadir ditemani anak kelimanya, Yusarima Puteri.
Tidak banyak yang berubah pada Sarimah.
Pada usianya mencecah 68 tahun, beliau masih manis biarpun sekadar mengenakan
solekan yang nipis.
Bagaimanapun, dalam kesederhanaan itu,
pada wajahnya sebetulnya terpancar kesedihan yang cuba diselindungi tuan punya
dirinya yang kental dengan semangat juang yang tinggi, apa lagi untuk
berhadapan dengan ujian maut selama setahun kerana kanser - penyakit yang amat
digeruni dan menjadi antara penyakit paling berbahaya di dunia era moden ini.
Semangat berlawan dengan penyakit yang
dikongsi dengan Sarimah pada awal perbualan sudah cukup menjelaskan betapa
beliau sentiasa reda dengan ujian Ilahi.
Mengenali Sarimah, beliau tidak pernah
lekang diuji sejak dari usia mudanya sehingga mendaki usia emas. Ibu tunggal
kepada enam orang anak ini tidak henti-henti melafazkan rasa syukur pada Yang
Maha Esa kerana kuasaNya itu mengatasi apa yang pernah diungkapkan oleh
pengalaman perubatan.
Bila doktor memberitahu jangka hayat Kak
Mah hanya mampu bertahan tiga bulan saja, Kak Mah amat terkejut namun reda
andai itu ketentuanNya. Kak Mah harus menerima qada dan qadar Tuhan,
Sarimah memulakan perbualan dalam nada yang cukup sebak.
Air mata cuba ditahan agar tidak mengalir
laju dari kelopak matanya saat membuka rahsia mengenai penyakit barah hidung
dan otak yang dimaklumkan oleh doktor ketika menjalani pemeriksaan pada April
tahun lalu.
Sejak tarikh 20 April tahun lalu, hari
yang dimaklumkan oleh doktor mengenai penyakit yang dideritainya, kehidupan
Sarimah berubah secara total.
Kak Mah masih ingat tarikh 20 April tahun
lalu, bila Farawahida, Jamil dan Siti Rohani (arwah menantu yang meninggal
kerana kanser payu dara pada Julai tahun lalu) membawa Kak Mah ke sebuah
hospital swasta untuk mendapatkan keputusan perubatan, Kak Mah hanya berserah
pada Allah.
Tatkala doktor mengesahkan Kak Mah
mengidap penyakit barah hidung dan otak tahap empat dan hanya ada waktu tiga
bulan untuk hidup, Kak Mah hanya melafazkan `aku reda.
Sebab Kak Mah percaya, hidup dan mati kita
ditentukan oleh Allah SWT dan jika sudah sampai ajal kita, ia tidak akan cepat
atau lambat walau sesaat jua, sambung Sarimah dengan nada bergetar.
Hati wanita, sesabar mana sekalipun mereka
menerima ujian, namun sebagai insan yang lemah air mata akhirnya tumpah juga
kerana tidak mampu untuk melaluinya sendirian.
Kak Mah cuba kuat, namun hati seorang
wanita tidak dapat menahan air mata daripada menitis. Waktu itu Kak Mah
memandang Ida, Jamil dan Siti Rohani yang terdiam kaku.
Walaupun hati ini digayut sedih namun Kak
Mah reda dan yakin selagi belum sampai ajal, Kak Mah akan berusaha untuk
membebaskan diri daripada penyakit ini.
Cuma doa Kak Mah ketika itu, agar Allah
beri peluang kepada Kak Mah untuk menunaikan umrah walaupun untuk kali terakhir
pada bulan Ramadan lalu. Alhamdulillah, doa Kak Mah dimakbulkanNya,
cerita Sarimah dalam nada sebak.
Sebetulnya, tidak ramai yang mengetahui
primadona yang bakatnya diasah oleh Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee
itu sudah diserang kanser sejak 2007 lagi.
Waktu itu, dalam seminggu
sekurang-kurangnya Kak Mah demam dan batuk sampai tiga empat hari. Bila makan
ubat, demam kebah dan batuk pun reda.
Bukan itu sahaja, malah kadang-kadang
waktu tengah malam, tiba-tiba lidah Kak Mah keras. Kak Mah tak boleh rasa apa
pun. Kepala sakit macam nak putus nyawa.
Walaupun ketika itu, Kak Mah memujuk hati
ini agar sabar namun kadang-kadang Kak Mah dapat rasakan maut bagaikan di depan
mata. Apa yang mampu Kak Mah lakukan, hanyalah meminum air zam-zam yang menjadi
minuman utama Kak Mah setiap hari.
Bukan itu sahaja, malah Kak Mah sering
diserang sakit kepala yang amat sangat dan mata semakin kabur. Bila penyakit
itu datang menyerang, Kak Mah rasa dunia ini bagaikan gelap dan tidak punya
apa-apa lagi, Sarimah mendedahkan derita yang dilalui
dengan penuh keinsafan.
Namun kerana sifat tawakal dan
istiqamahnya, Sarimah tidak pernah mengalah. Menyedari setiap penyakit ada
penawarnya, beliau memilih untuk mendekati Allah dengan menghayati bacaan
ayat-ayat suci al-Quran selain memastikan solat wajib menepati waktu dan amalan
solat sunat digandakan.
Sebagai seorang muslim, Sarimah berpegang
pada ketentuan seandainya Allah mencabut nyawanya pada bila-bila masa, dia reda
namun kewajipan sebagai hambaNya tidak akan sama sekali dipersiakan.
Ada ketika dalam serba kesulitan juga,
Sarimah tetap mendekati Allah biarpun dalam keadaan terbaring.
Namun, satu hal yang tidak sanggup untuk
dilalui pelakon Madu Tiga dan Ibu Mertuaku itu ialah proses perubatan
kimoterapi yang disyorkan doktor kerana proses itu amat menyakitkan.
Melihat kedegilan kak Mah enggan menjalani
kimoterapi, Usha membawa kak Mah berjumpa doktor dan memberitahu keadaan
sebenar. Bukan Kak Mah tidak percaya dengan perubatan moden, tetapi dalam usia
Kak Mah ketika itu sudah mencecah 67 tahun ketika, tubuh Kak Mah tidak mampu
menerimanya lagi.
Bagi Kak Mah biarlah Kak Mah bertahan
begitu dan jika Allah akan menjemput Kak Mah pulang, Kak Mah reda daripada
menjalani proses kimoterapi, kata Sarimah berkali-kali.
Beruntung Sarimah kerana beliau disayangi
ramai. Saudara-mara dan kenalan rapat yang mengetahui penderitaan yang
dilaluinya turut sama mendoakan kesejahteraan dan kesihatannya.
Ini termasuk saudara terdekat, Prof. Madya
Dr. Abdul Aziz Hanafi dan isteri yang tidak pernah putus mengadakan solat hajat
mendoakan kesihatannya.
Ketika Sarimah menanggung kesakitan yang
amat sangat dan teraba-raba untuk mencari ubat, seorang kawan membawanya
berjumpa seorang Profesor yang dikenali sebagai Prof. Syed yang menawarkan
makanan tambahan B17 yang diimport dari Mexico.
Sebelum mengamalkan pil supplemen ini, Kak
Mah harus menjalani ujian darah. Hasil daripada keputusan ujian darah itu
barulah Profesor berkenaan mengetahui penyakit Kak Mah. Keputusannya, Prof.
Syed mendapati Kak Mah mengidap kanser hidung dan otak tahap empat dan Kak Mah
juga ada masalah jantung, Sarimah menjelaskan hasil penemuan dengan
professor berkenaan.
Amalan dan gaya hidup Sarimah selama ini
sememangnya positif dan memenuhi kriteria mereka yang sihat. Beliau amat
menjaga kesihatan terutama dari aspek pemakanan selain sentiasa mengadakan
senaman ringan setiap hari.
Justeru, apabila disahkan mempunyai
masalah jantung, beliau sendiri keliru dan tertanya-tanya kenapa ia berlaku
pada dirinya.
Akhirnya kak Mah berbalik pada ketentuan
Ilahi. Seperti yang kak Mah katakan sebagai umat Islam, kak Mah reda dengan
ujian Allah. Dengan wang simpanan yang kak Mah ada serta bantuan anak-anak, kak
Mah bersedia menjalani rawatan alternatif yang ditawarkan," jelasnya yang
berterima kasih kepada anak-anak yang sentiasa mengambil berat soal
kesihatannya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.