Total Pageviews

Saturday 18 July 2020

Kebiadapan Penjajah kepada Naning

 

Kebiadapan Penjajah kepada Naning

 

https://melakakini.my/tikam-belakang-punca-tewasnya-naning/

 


Dol Said atau nama sebenarnya Abdul Said dilahirkan pada 1773 di Naning, Alor Gajah Melaka. Beliau berasal dari suku Semelenggang. Merupakan seorang Pahawan Melayu yang kental. Ini kerana Dol Said memegang kepada prinsip “berpantang maut sebelum ajal.”

Sejak kecil lagi sifat keberaniannya mula diperlihatkan apabila beliau mempelajari ilmu bela diri atau seni silat sejak berusia enam tahun.

Sungguhpun berasal dari keluarga yang miskin, namun Dol Said sentiasa berusaha memajukan diri, agama dan bangsanya. Dol Said seorang yang tekun mengaji al-Quran, cekap dalam seni mempertahankan diri dan sentiasa dihormati masyarakatnya.

Ketokohan Dol Said semakin terserlah apabila beliau dilantik sebagai Penghulu Naning menggantikan Penghulu Anjak pada 1799 sewaktu berumur 26 tahun.

Menurut Penghulu Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Taboh Naning, Ali Hassan Ahmad Shamsudin, Dol Said yang merupakan pemerintah atau Penghulu Naning ke-9, membantah pengenalan cukai ke atas daerahnya, oleh pihak British.

Katanya, tentangan orang Melayu yang pertama terhadap kuasa luar ialah daerah Naning. Ini kerana British telah campur tangan dalam hal ehwal politik, dan pentadbiran daerah tersebut.

Ini ujarnya, dapat dilihat apabila British menguasai Melaka dan mendakwa bahawa Naning adalah sebahagian daripada Melaka. British menegaskan bahawa segala peraturan yang dijalankan di Melaka akan turut dilaksanakan di Naning.

 

“Kenyataan ini bercanggah, dengan nilai-nilai tradisi daerah Naning. Pihak British meminta Naning, memberi 1/10 daripada hasilnya kepada British sepertimana yang diberikan kepada Belanda dahulu. Namun pihak Naning menjelaskan bahawa, pemberian kepada Belanda itu atas tanda persahabatan tanpa paksaan,’’ katanya kepada MelakaKini.

Menurut Ali Hassan Ahmad, ketegasan British dan Dol Said menyebabkan ketegangan berlaku antara kedua-dua pihak, akibatnya pada 1831 British menghantar satu ekspedisi bersama 150 orang tentera sepoi, menyerang Naning. Namun serangan itu berjaya dipatahkan Dol Said dan para pengikutnya.

Katanya, Dol Said secara keras menentang kemasukan tentera British di Naning dengan menunjukkan kebijaksanaan peperangan, yang telah berjaya mengalahkan British.

Peperangan Naning pertama pada 1831 menjadikan Dol Said seorang wira berani sekali gus mengukir sejarah Melaka, ujarnya.


Dengan kepimpinannnya itu, beliau berjaya mendapat sokongan orang Melayu seramai 1,000 orang untuk menentang British dalam Perang Naning yang bermula pada 6 Ogos 1831 dan berakhir pada 24 Ogos 1831 iaitu kira-kira lapan belas hari berperang.

Dalam peperangan tersebut, Dol Said sekali lagi mencipta kejayaan.

Sebab utama kejayaan tersebut adalah kerana perpaduan yang wujud dalam kalangan orang Melayu serta sokongan orang Melayu dari daerah lain seperti Rembau dibawah pimpinan Yamtuan Ali dan Daerah Sungai Ujong, pimpinan Datuk Kelana.

“Pada ketika itu, nama Dol Said kedengaran di mana-mana tempat. Semua penduduk terutama orang Melayu mengucapkan pelbagai pujian terhadap kehebatan dan keberanian beliau selaku pemimpin yang menegakkan hak-hak orang Melayu,’’ katanya.

Bagaimanapun kata Ali Hassan Ahmad, British enggan mengaku kalah dan tidak berpuas hati. British sekali lagi bertindak melancarkan serangan ke atas Naning. Pada tahun 1832 untuk mengembalikan maruah mereka yang kononnya tercalar dan dalam pertempuran kali ini ia memihak kepada British.

Dol Said ujarnya, terpaksa berundur ke Pasir Besar. Setelah kalah dalam Perang Naning Kedua pada Februari 1832, dalam masa empat bulan akhirnya Naning jatuh sepenuhnya ke tangan British iaitu pada 15 Jun 1832.

Naning kemudiannya diletakkan di bawah peraturan Negeri-negeri Selat pada 27 Oktober 1832.


Jelas Ali Hassan Ahmad, Naning tewas dalam Perang Naning kedua bukan kerana tidak mempunyai kepakaran atau strategi yang tinggi tetapi pihak Rembau telah berpaling tadah dengan tidak menghantarkan tentera mereka, seperti dijanjikan kepada Naning.

Pada masa sama juga, katanya, pihak Rembau membocorkan rahsia kekuatan tentera Naning kepada British.

Oleh yang demikian, berakhirlah Kerajaan Naning pada tahun 1832. Kekalahan mereka bukan kerana kehebatan bangsa asing tetapi akibat oleh kerana bangsa sendiri yang menikam dari belakang.

Natijahnya orang Melayu hanya mampu mencapai kegemilangan, jika mereka bersatu hati.

 

 

https://melakakini.my/tikam-belakang-punca-tewasnya-naning/

 

.

 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.