Total Pageviews

Sunday 23 April 2017

Isu Stevia Palsu

Isu Stevia Palsu


ISU STEVIA PALSU

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum artikel bertajuk “Awas Stevia Palsu” yang disiarkan melalui akhbar Berita Harian edisi 27 Mac 2017.

Laporan tersebut menyatakan hasil ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Putra Malaysia terhadap 10 jenama produk stevia yang digunakan oleh pesakit diabetes sebagai pemanis alternatif, mendapati kesemua produk tersebut langsung tidak mengandungi ekstrak tumbuhan itu sebaliknya adalah kombinasi bahan kimia berbahaya yang memudaratkan kesihatan.

Ekstrak stevia adalah sejenis bahan pemanis semulajadi yang diekstrak daripada daun pokok Stevia rebaudiana Bertoni yang mengandungi glikosida steviol, dan diproses menjadi serbuk putih hingga kuning cerah, tidak berbau dan mempunyai rasa manis.

Ia boleh digunakan sebagai pengganti kepada gula biasa khususnya kepada mereka yang menghidap penyakit diabetes. 2 Peraturan 118A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 telah menetapkan standard bagi produk ekstrak stevia.

Di samping itu, Seksyen 13, Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan termasuk produk stevia yang mengandungi bahan kimia berbahaya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

KKM sedang menjalankan siasatan ke atas perkara ini bagi memastikan produk berkenaan mematuhi perundangan makanan. Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my

 atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq



KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 
27 Mac 2017


KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merujuk semula artikel bertajuk “Awas Stevia Palsu” yang disiarkan melalui akhbar Berita Harian bertarikh 27 Mac 2017. KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan ke atas produk stevia di pasaran.

Hasil pemantauan mendapati satu sampel berjenama PURE STEVIA keluaran syarikat VJS Cosmo Ent. tidak mengandungi stevia.

Sehubungan itu, KKM telah mengarahkan syarikat terlibat memanggil balik produk tersebut dari pasaran dan tindakan mahkamah akan di ambil ke atas syarikat berkenaan di bawah Akta Makanan 1983.

KKM akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk stevia dan sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil serta pengguna akan dimaklumkan.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my   atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq


DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

26 April 2017

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.