Total Pageviews

Sunday 12 November 2017

Rumpai Miang Mexico







BAHAYA RUMPUT MIANG MEXICO
Rumpai Miang Mexico atau nama sainstifiknya Parthenium hysterophorus dari famili Asteraceae merupakan sejenis rumpai liar yang berasal dari negara Mexico, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Rumpai ini juga dikenali sebagai Carrot Weed. 

Rumpai ini boleh tumbuh di pelbagai jenis dan keadaan tanah termasuklah tanah kurang subur. Ia kelihatan seperti ulam raja dan panjang daun 30cm dengan bilangan daun yang boleh mencapai 55 helai.

Bunga rumpai ini berwarna putih susu (krim) dengan ukuran diameter 4-6mm, pada batang rumpai ini terdapat bulu-bulu halus (trikomes) dan bercabang. Biji benih rumpai ini berwarna perang kehitaman berbentuk seperti baji dan boleh mencapai 100,000 biji benih perpokok dalam satu kitaran hidup lengkap iaitu 3-4 bulan.

Rumpai ini merebak melalui angin, air yang mengalir, makanan haiwan ternakan, haiwan ternakan yang diimport, pergerakan haiwan ternakan, manusia dan pergerakan jentera, serta alatan pertanian. 

Rumpai ini dikatakan sebagai rumpai yang berbahaya kerana memberi kesan kepada ekosistem semulajadi, menyebabkan alahan kepada manusia dan haiwan yang boleh membawa kepada kematian.

Kehadiran rumpai ini mula dikesan pada bulan September 2014 oleh Jabatan Pertanian Malaysia di kawasan Ulu Yam Baru, Selangor dan selepas itu bancian telah dijalankan dengan sistematik dan didapati negeri Perak, Kedah dan Negeri Sembilan juga mempunyai rumpai ini. 

Ancaman bahaya dari rumpai ini telah dilabelkan sebagai rumpai paling teruk abad ini kerana mengurangkan hasil pertanian serta ternakan bagi sesebuah negara dan seterusnya mengalami kerugian besar disamping menimbulkan masalah kesihatan yang kronik pada manusia.

Akta rumpai telah memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pemilik tanah yang membiarkan rumpai ini tumbuh ditanah mereka tanpa usaha menghapuskannya. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memastikan rumpai ini terhapus dari negara kita supaya hasil pertanian dan ternakan serta keselamatan manusia terjamin. 

Pada pamplet dibawah ini terdapat cara kawalan bagi rumpai ini yang boleh dijadikan rujukan umum dalam menghapuskan rumpai berbahaya ini.




KUALA LUMPUR - Orang awam dinasihatkan untuk mengelak daripada terdedah atau tersentuh 'rumpai miang Mexico' atau 'parthenium hysterophorus' kerana boleh menyebabkan alahan, terutamanya kepada kanak-kanak dan orang tua.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rumpai miang Mexico mempunyai bahan kimia pada debunga, bahagian akar, daun dan batang iaitu parthenin, hymenin dan ambrosin yang dikenal pasti boleh memberi kesan ke atas kesihatan manusia.
"Namun tidak semua yang terdedah mengalami reaksi alahan atau alergi. Sesetengah orang mengalami gejala (alahan) apabila pendedahan berterusan dan berulang kali.

"Gejala tindak balas alahan adalah seperti ruam kulit, kulit mengelupas, gatal-gatal pada kulit, mata bengkak, rinitis alergi serta gangguan kepada sistem pernafasan seperti selsema dan asma," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham mengulas laporan sebuah akhbar tempatan semalam, mengenai kejadian alahan pada kulit dan gejala gangguan pada sistem pernafasan dalam kalangan pekerja ladang kelapa sawit di Sidam, Kedah dipercayai berkaitan dengan rumpai miang Mexico.

Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham memberitahu setakat ini, masih tiada peningkatan trend pesakit dengan gejala alahan kulit dan pernafasan seperti asma dilaporkan daripada fasiliti kesihatan di negeri terlibat seperti Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor.
   
Dr Noor Hisham juga menasihatkan mereka yang mengalami gejala alahan atau masalah pernafasan akibat terdedah kepada rumpai itu untuk segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang berhampiran.

Mereka juga diminta memaklumkan kepada pengamal perubatan mengenai pendedahan terhadap rumpai itu, kerana KKM akan meminta kementerian atau agensi berkaitan untuk mengambil tindakan bagi mengawal atau memusnahkan tumbuhan itu. – Bernama





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.