Biskut Didakwa Ada Bahan Penyebab Kanser, Ini Penjelasan Syarikat Pengeluar Makanan Popular
Izwan Isa
25/10/2021 | 12:50 MYT
Susulan daripada tuduhan Majlis Pengguna Hong Kong (HKCC)
yang mendakwa terdapat unsur penyebab kanser yang terkandung dalam biskut
keluaran Hup Seng baru-baru ini, syarikat pengeluar makanan popular itu tampil
memberi kenyataan.
Menerusi maklum balas yang dimuat naik menerusi
akaun Facebook rasmi Hup Seng Perusahaan Makanan (M) Sdn. Bhd., syarikat
berkenaan memberitahu bahawa produk biskut keluaran mereka selamat untuk
dimakan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih atas keprihatinan anda
terhadap laporan HKCC tentang produk kami.
“Semenjak tahun 1958, sebagai pengilang biskut
yang mengambil berat tentang tanggungjawab sosial, kualiti dan keselamatan
produk adalah keutamaan kami.
“Kami ingin memaklumkan bahawa ‘Special Cream
Cracker’ yang dihasilkan dan dipasarkan di Malaysia adalah selamat dimakan dan
selaras dengan regulasi tempatan, standard kualiti dan standard keselamatan
makanan,” kata kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, mereka turut menyatakan
keterbukaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan jika siasatan
diperlukan pada masa akan datang.
“Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak
berkuasa dalam penyiasatan sekiranya diperlukan. Kami mengucapkan terima kasih
kepada semua pelanggan setia dan pekerja atas sokongan yang berterusan,” kata
kenyataan itu lagi.
Pada Isnin lalu, portal The South China Morning
Post melaporkan 60 sampel biskut dan keropok, termasuk produk keluaran Hup Seng
yang diuji mengandungi elemen mendorong kanser seperti glycidol atau acrylamide.
Selain itu, HKCC turut menyatakan bahawa 40 peratus
produk yang diuji mempunyai label nutrisi yang mengelirukan.
Media tempatan turut melaporkan Saham Hup Seng
jatuh 2.7 peratus kepada 91 sen pada Jumaat, yang membawa kepada penurunan
tertinggi dalam tempoh dua bulan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.