Presiden
Mesir Dr Mohamad Morsi Mati disiksa dalam tahanan
TERKINI dilaporkan bahawa Dr.
Mohamed Morsi – Presiden Mesir yang digulingkan oleh tentera pro-Israel
pimpinan al-Sisi pada 2013 – berdepan kemungkinan untuk mati dalam tahanan atau
mati pramasa (premature death) akibat seksaan dan layanan kejam.
Dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi, yakni
dalam Januari 2019, beliau juga akan kembali dibicarakan di Mahkamah – satu
taktik penyeksaan mental dan fizikal secara berturut-turut yang diulang-ulang
rejim al-Sisi sejak enam tahun lalu.
Dr. Morsi dilayan dengan kejam di penjara Tora
yang digelar penjara ‘Kala Jengking’ – malah hingga ke tahap di mana sebuah
panel yang dinamakan Detention Review Panel (DRP) yang turut dianggotai para
peguam dan ahli parlimen Britain mengecam kaedah tahanan ini yang dicela sebagai
‘di bawah tahap yang sepatutnya berdasarkan undang-undang antarabangsa’.
Mengapakah semakin hari semakin zalim sekali
layanan rejim al-Sisi ke atas Dr. Morsi khususnya dan anggota Ikhwan Muslimin
secara umumnya? Malah, majalah berpengaruh ‘Foreign Policy’ terbitan
Disember 2018 mengecam rejim al-Sisi dengan tajuk ‘Sisi Isn’t Mubarak. He’s
Much Worse’ yang bermaksud al-Sisi lebih teruk berbanding rejim diktator Hosni
Mubarak yang memerintah Mesir sejak akhir 1970-an hingga 2011.
Untuk rekod, Dr. Morsi ialah Presiden Mesir
pertama – dan terakhir – yang diundi secara bebas dan demokratik oleh rakyat
Mesir di seluruh negara dalam pilihan raya Presiden 2012 selepas Revolusi
Januari 2011 (fenomena kebangkitan ‘Arab Spring’) yang menumbangkan diktator sebelum
itu iaitu Hosni Mubarak.
Saat ini, rejim al-Sisi sebenarnya berhadapan
masalah mentadbir Mesir yang cukup kronik; isu bekalan air yang asas, subsidi
roti, masalah bekalan makanan khususnya kentang, isu perumahan, isu gaji
pekerja, dan juga peluang pekerjaan, subsidi sosial, serta hutang kerajaan –
kesemuanya membawa kepada satu kesimpulan: rejim al-Sisi amat lemah dan gagal
sama sekali sebagai kerajaan.
Lalu mengapa tidak timbul sebarang kebangkitan
rakyat secara besar-besaran seperti mana yang dihadapi Dr. Morsi dan diktator
Hosni Mubarak sebelum ini?
Jawapannya adalah seperti mana yang dihuraikan
Foreign Policy terbitan Disember 2018: rejim al-Sisi sejak merampas kuasa
daripada Dr. Morsi pada 2013 bergantung sepenuhnya pada cara menangkap, menyerang,
melakukan keganasan, dan juga membunuh sesiapa yang dilihat cuba mencetuskan
penentangan kepada rejim beliau.
Bagi mengesahkan pemerintahan beliau, al-Sisi
telah mengadakan pilihan raya yang mudah untuk dimenangi – dengan pengharaman
dan penangkapan besar-besaran anggota gerakan Islamis Ikhwan Muslimin.
Menyedari betapa gerakan Islamis Ikhwan Muslimin
masih berpengaruh besar di hati rakyat Mesir – ditambah pula dengan kegagalan
beliau sebagai kerajaan – al-Sisi menggunakan cara keganasan untuk kekal
berkuasa.
Pembunuhan
beramai-ramai penyokong Dr. Morsi sewaktu ‘Rabaa Massacre’ pada Ogos 2013
dahulu hanyalah permulaan. Hari ini, meski pun ‘menang besar’ dalam
pilihan raya olok-olok yang dianjurkan beliau sendiri, al-Sisi kini mula
mencuba untuk meminda Perlembagaan Mesir 2014; beliau kini cuba untuk sama ada
memanjangkan tempoh penggal Presiden atau pun menghapuskan sama sekali had
tempoh penggal tersebut untuk terus berkuasa.
Keadaan
ini sama sekali bertentangan dengan dasar kerajaan Dr. Morsi dahulu yang menghadapi
tiga cabaran besar. Cabaran pertama ialah tuduhan kerajaan Morsi bersikap
eksklusif kononnya tidak melibatkan parti lain dan juga kaum wanita dan
minoriti dalam kerajaan beliau.
Melalui Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), Dr.
Morsi mengetuai Jemaah Ikhwan Muslimin memenangi pilihan raya presiden pada Jun
2012.
Kerajaan Dr. Morsi dituduh hanya melantik
anggota Ikhwan yang merupakan ahli politik FJP sahaja dalam kerajaan sedangkan
sebenarnya Dr. Morsi telah melantik tiga orang wanita dan dua orang ahli
politik Kristian ke jawatan utama pada Ogos 2012.
Cabaran kedua ialah anasir tinggalan diktator
Hosni Mubarak yang terdiri daripada Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF),
para hakim Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir yang sekular dan anti-Islamis,
serta kroni industri pro-Mubarak (dan Tamrroud anti-Ikhwan Muslimin).
SCAF sebagai contoh, kononnya menjadi
‘perantara’ rakyat Mesir dengan kerajaan apabila berlaku peralihan kuasa.
Namun pada hakikatnya, ia hanyalah sekelompok elit yang menjaga kepentingan
masing-masing – jauh mengatasi kepentingan rakyat Mesir.
Ramai pihak menuduh kononnya Dr. Morsi
tergesa-gesa dalam cubaan mereformasi angkatan tentera Mesir – contohnya
tindakan beliau melucutkan kedudukan Panglima Mohamed Hussein Tantawi dan Leftenan
Jeneral Sami Hafez Anan serta memecat Pengarah Perisikan Murad Muwafi.
Namun pada hakikatnya Dr. Morsi telah berusaha
mengimbangi tuntutan tentera – langkah sama yang dilakukan Erdogan di Turki –
termasuklah memberi pelbagai kelebihan kepada belanjawan dan syarikat milik
tentera. Contohnya ialah pengecualian pemotongan subsidi minyak, imuniti
daripada semakan dan kawalan belanjawan, dan juga autonomi sistem buruh yang
diamalkan syarikat milik tentera Mesir.
Malah, tentera Mesir melalui SCAF juga menerima
beberapa keutamaan dalam projek kerajaan seperti projek automotif Al-Nasr
Automotive Manufacturing Company (NASCO) yang diserahkan kepada Kementerian
Pengeluaran Pertahanan dan juga projek tablet ala-iPad Mesir, Inar yang diberi
kepada Benha Electronics Company (Benha) yang sebahagiannya juga milik
Kementerian Pengeluaran Pertahanan Mesir.
Kerajaan FJP pimpinan Dr. Morsi juga bertindak
menghentikan rancangan penswastaan besar-besaran aset kerajaan – termasuklah
syarikat-syarikat milik tentera Mesir.
Selain itu, Dr. Morsi turut memberikan posisi
yang tinggi kepada para pegawai tentera di Autoriti Terusan Suez, Pertubuhan
Arab untuk Perindustrian, dan juga kedudukan di Kementerian Pertahanan – di
samping berjanji mewujudkan kehadiran tentera Mesir di Sinai dan juga
mempelbagaikan sumber persenjataan asing dan latihan buat tentera Mesir.
Walau bagaimanapun, kerajaan Dr. Morsi juga
mengusahakan pengurangan monopoli tentera dalam projek berskala besar dan
berimpak tinggi Mesir seperti dalam kes Projek Pembangunan Koridor Terusan
Suez.
Rancangan Dr. Morsi untuk menjadikan Terusan
Suez sebagai hab logistik dan pusat pembuatan barangan berat global ini
tentulah menarik firma-firma berkaitan tentera yang dominan di Mesir seperti
kilang pembuatan menara, kotak gear, dan juga bilah fiberglass yang digunakan
dalam turbin angin.
Namun begitu, kerajaan Dr. Morsi bertindak
meletakkan posisi pembuatan keputusan tertinggi projek gergasi ini di tangan
Timbalan Perdana Menteri yang melapor secara terus kepada beliau, sekali gus
mengetepikan kedudukan dominan tentera Mesir.
Langkah inilah sebenarnya yang membawa kepada
rampasan kuasa tentera menjatuhkan kerajaan Dr. Morsi.
Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir menjadi
ancaman seterusnya yang berusaha menggugat kerajaan Dr. Morsi dahulu.
Contoh yang paling nyata apabila ia bertindak membubarkan Dewan Perwakilan
Rakyat yang dipilih rakyat pada Jun 2012 – sejurus sebelum Dr. Morsi memenangi
pilihan raya Presiden dalam bulan yang sama. Pembubaran ini susulan
kejayaan Ikhwan Muslimin melalui parti FJP menguasai majoriti kerusi parlimen
pada waktu itu.
Kerajaan Dr. Morsi juga difitnah cuba menjadi
diktator semata-mata kerana mengusahakan pemusatan kuasa eksekutif di tangan
Presiden. Hakikat sebenarnya ialah langkah ini terpaksa diambil bagi
melindungi proses penggubalan Perlembagaan Mesir agar selari dengan
keseimbangan antara hak asasi manusia dan Syariah.
Langkah ini jelas bersifat pencegahan kerana
kuasa eksekutif yang kuat diperlukan untuk melindungi Perlembagaan daripada
disabotaj para hakim pro-bekas diktator, Hosni Mubarak yang jelas menguasai
Mahkamah Tinggi Perlembagaan Mesir.
Akibat pakatan tentera Mesir dengan firma-firma
gergasi (yang sengaja menjahanamkan bekalan tenaga dan keperluan asas rakyat
selepas kemenangan FJP pimpinan Dr. Morsi) serta media (seperti Nilesat yang
menguasai satelit strategik dalam menyiarkan berita palsu dan fitnah), emosi
sebahagian rakyat Mesir telah dibakar untuk sekali lagi berhimpun – kali ini
memberi tekanan ke atas kerajaan Morsi agar meletak jawatan.
Sejarah menjadi saksi betapa akhirnya Dr. Morsi
telah ditahan dan digulingkan oleh tentera Mesir di bawah al-Sisi – yang hari
ini telah membawa kerosakan dahsyat ke atas kehidupan rakyat Mesir dan juga
sistem politik mereka akibat ketiadaan ilmu pentadbiran dan juga kerakusan
membolot hasil negara ke tangan kroni tentera.
Campur tangan asing juga jelas menjadi faktor
besar dalam konteks politik Mesir ini – negara seperti Emiriyah Arab Bersatu
(UAE) dikesan menyalurkan dana berulang kali kepada para jeneral tentera Mesir
dalam merencana gerakan Tamarroud bagi menjatuhkan kerajaan FJP Dr. Morsi.
Arab Saudi juga secara terbuka dinamakan sebagai
antara perancang utama gerakan rampasan kuasa tentera ini dengan kerjasama erat
Jeneral al-Sisi yang ketika itu merupakan Menteri Pertahanan. Tidak
menghairankan sama sekali apabila hanya seminggu selepas Dr. Morsi dijatuhkan,
UAE telah menjanjikan sokongan sebanyak USD3 bilion manakala Arab Saudi pula
menjanjikan USD5 bilion kepada rejim tentera Mesir pro-Israel pimpinan al-Sisi
itu (UAE juga didakwa kerajaan AKP pimpinan Erdogan sebagai dalang rampasan
kuasa Turki pada 2016).
Saat ini, Dr. Morsi berdepan dengan beberapa
siri hukuman penjara yang panjang di bawah rejim al-Sisi seperti penjara seumur
hidup kerana dituduh menjadi ‘perisik’ kepada gerakan Islamis Palestin,
Hamas.
Beliau setakat ini telah dijatuhkan hukuman
penjara 20 tahun atas tuduhan melakukan kekerasan ke atas perusuh pada Disember
2012 sebelum ditambah lagi hukuman penjara selama 25 tahun kerana dituduh
menjadi ‘perisik’ Qatar.
Sebelum ini beliau turut berdepan hukuman mati
pada 2015 atas tuduhan melarikan diri dari penjara sewaktu Revolusi Mesir 2011
namun ia telah ditarik balik atas tekanan dalaman dan juga tekanan antarabangsa.
Sama-sama kita doakan semoga Allah melindungi
Dr. Mohamed Morsi – seorang lelaki hafiz al-Quran dengan ijazah kedoktoran
dalam bidang kejuruteraan yang telah mengorbankan segala-galanya demi
tanggungjawab yang tidak diminta-minta, tanggungjawab yang tidak dijadikan
lubuk kontrak dan projek ketua bahagian parti, tanggungjawab yang kini
direhatkan dari bahunya.
..