Tragedi 3
Mac 1946 : Peristiwa Runtuhnya Kesultanan Melayu di Indonesia
https://www.aerill.com/2018/06/peristiwa-runtuhnya-kesultanan-melayu-indonesia.html
Entri kali
ini adalah berkenaan sejarah yang tidak di ajar di sekolah iaitu peristiwa
bagaimana kesultanan melyau terus hilang daripada Indonesia atau lebih
khususnya di Sumatera. Ianya menceritakan bagaimana sultan-sultan
ini dibenamkan di laut, dipotong kepala mereka dan ditanam hidup-hidup
serta waris yang hidup sudah tidak mahu menggunakan nama Tengku atau Wan kerana
takut dibunuh. Jom kita baca.
72 tahun tidak lama. Adakah kita telah lupa?
Dua bulan sebelum UMNO ditubuhkan di Istana Johor, lima sultan di lima negeri
Melayu di Sumatera Timur telah dibunuh dengan kejam. Beribu-ribu orang kerabat
raja turut dibunuh kejam.
Jam 12 malam 3 Mac 1946
merupakan detik hitam bagi orang Melayu dan kini menjadi penyesalan yang tak
sudah bagi sebahagian besar warga Melayu di Sumatera Timur. Ia juga merupakan
penyebab orang Melayu Semenanjung menolak untuk menyertai gagasan Indonesia.
Dalam satu malam sahaja, beberapa orang Sultan di beberapa negeri telah dibunuh
dengan kejam oleh puak pro-komunis yang dibantu oleh kuli-kuli ladang dari keturunan
pendatang luar.
Peristiwa bermula menjelang
tahun 1946 di mana keadaan suhu politik di Sumatera Timur menjadi panas apabila
kumpulan pro-komunis mula menguasai partai politik dan juga membentuk askar
bersenjata di antaranya Laskar Buruh atau Parti Komunis Indonesia.
Istana Darul Aman, Tanjung
Pura, milik Kesultanan Langkat, di tahun 1930an. Kini ia musnah hancur akibat
fitnah puak yang melaungkan 'Ketuanan Rakyat' yang semata-mata mahukan
kuasa bersama-sama berbelas-belas istana kesultanan lain di Sumatera Timur.
Rakyat Sumatera Timur kini menyedari kesilapan yang telah dilakukan oleh datuk
nenek mereka terdahulu.
Akibat jarak
dan kegagalan Sukarno berhubungan dengan sultan-sultan Melayu di Sumatera bagi
mendapatkan kepastian mereka dalam pernyataan sokongan kemerdekaan dari
Belanda, Timbalan Gabenor Sumatera yang dilantik, Amir Syarifuddin (salah
seorang pro-komunis) tiba di Serdang dalam negeri Asahan dari pulau Jawa dan
menghasut para penyokong komunis supaya menghapuskan kuasa Sultan dan bangsawan
di istana mereka di Serdang. Dia merupakan seorang penulis yang merupakan
redaksi majalah Pemoeda Soematra.
Secara
diam-diam, pihak komunis mempersiapkan rancangan untuk menghapuskan monarki
kerajaan Melayu dan ingin mengambil alih pemerintahan kerajaan. Mereka
kemudian membuat propaganda di akhbar, radio dan risalah serta isu-isu fitnah palsu
untuk menghasut rakyat dengan laungan ‘Daulat Rakyat’ bagi melawan laungan
‘Daulat Tuanku’. Selain itu, isu bahawa Raja-Raja Melayu ini mempunyai hubungan
baik dengan dengan Belanda dimainkan selain kononnya pihak istana memeras
dan menindas rakyat.
Muslihat ini
dilakukan setelah Gabenor Sumatera yang dilantik, Tengku Muhammad Hassan
beserta rombongan yang 7 buah kereta , bertolak dari Medan pada 6 Februari 1946
melalui Brastagi dan Sumatera Tengah menuju ke Sumatera Selatan, dan mengikut
rancangan, akan kembali ke Medan pada 22 Mac 1946.
3 Mac 1946,
tepat jam 12 malam secara serentak, orang ramai yang kebanyakan rakyat
pendatang, telah dipimpin oleh orang-orang komunis kiri PKI dan mengajak
bersama-sama mereka PNI dan Pesindo, menyerbu istana dan pejabat kerajaan
Melayu dan mengumumkan bahawa kerajaan Melayu telah dihapuskan oleh rakyat
Indonesia.
Pembunuhan
terhadap kerabat-kerabat raja dilakukan secara besar-besaran dengan ada yang dibenamkan
di laut, dipotong kepala mereka, ditanam hidup-hidup dan berbagai
pembunuhan sadis yang lain, di lakukan oleh orang ramai yang pro-komunis yang
dipimpin Parti Komunis Indonesia. Penyerbuan itu merupakan tragedi buat Sultan
Bidar Alam Syah IV di negeri Bilah, Sultan Mahmud Aman Gagar Alam Syah di
negeri Panai dan Tengku Mustafa gelar Yang Dipertuan Besar Makmur Perkasa Alam
Syah di negeri Kota Pinang, kesultanan Serdang Asahan di Tanjung Balai,
Kesultanan Deli di Medan, kerajaan Melayu Yang Dipertuan Tengku Al Haji
Muhammad Syah di Labuhan Batu. Kesemua sultan ini mangkat dibunuh oleh
rakyat pendatang yang bekerja di ladang-ladang Sultan yang terpengaruh
dengan dakyah komunis.
Hampir
separuh penduduk negeri-negeri ini terdiri dari kaum pendatang yang didatangkan
sebagai kuli di ladang-ladang.
Di tempat
lain, istana Sultan Langkat di Tanjung Pura dan di kota Binjai diserbu dan
dirompak, di mana kerabat raja-raja Melayu Langkat ditangkap dan sebahagian
besar dibunuh dengan kejam termasuk sasterawan Indonesia yang terkenal, Tengku
Amir Hamzah. Lebih kejam, puteri-puteri Sultan Langkat diperkosa dan
yang lebih memilukan lagi pemerkosaan dilakukan di depan mata baginda
Sultan Langkat, dan putera mahkota yang masih muda hilang entah ke mana.
Kekejaman ini dilakukan oleh seorang pemimpin PKI bernama Marwan dan
pengikut-pengikutnya.
Kesultanan
Langkat adalah kesultanan paling kaya dan mewah di Sumatera kerana mempunyai
hasil petroleum dan jika istana Sultan Langkat yang hangus dibakar itu masih
berdiri, ia merupakan khazanah yang tinggi nilainya untuk orang Melayu sedunia.
Kerabat-kerabat
lelaki di negeri Asahan dibunuh kesemuanya termasuk isteri Tengku Musa dan
anaknya. Dalam masa beberapa hari, 140 orang yang dikenalpasti sebagai kerabat
raja yang memakai nama Tengku, Wan dan Raja mati dibunuh dengan kejam di
Asahan sahaja.Mereka kemudian menangkap semua kerabat-kerabat diraja Melayu di
beberapa daerah terdiri dari perempuan dan anak-anak dan dibawa ke kem tahanan
di Simalungun dan Tanah Karo, disiksa, dihina dan dibunuh.
Indonesia
pada waktu ini seolah-olah menyokong kekejaman ini sehinggakan dua generasi
orang Melayu hampir kehilangan identiti mereka. Mereka takut mengaku Melayu,
takut memakai baju Melayu dan menambah gelaran Batak di depan nama mereka
supaya boleh bersekolah atau diterima di pejabat kerajaan. Mereka menghilangkan
gelaran Tengku atau Wan karena takut dicaci sebagai kerabat raja.
Akhirnya,
selepas 19 tahun, pada 30 September 1965, terjadilah rampasan kuasa oleh
Angkatan Bersenjata Republik Indonesia pimpinan Jenderal Suharto yang bertindak
memusnahkan Parti Komunis Indonesia. Puak pro-komunis Indonesia menerima nasib
yang dianggap sebagai balasan kepada apa yang telah mereka lakukan ke atas
Sultan-sultan Melayu di Sumatera. Hampir 2 juta puak pro-komunis Indonesia
telah dibunuh oleh tentera Indonesia dan sebahagian besar pemimpin Parti
Komunis Indonesia di Sumatera Timur terbabit mencetus ‘Revolusi Sosial 1946’ di
Sumatera Timur dengan membunuh para Sultan dan kerabat diraja serta merompak
istana-istana ditangkap dan dibunuh oleh tentera dan juga rakyat.
Sinar bagi
orang Melayu di Sumatera Timur kembali pada tahun 1971 apabila pemimpin
masyarakat Melayu Sumatera Timur yang dilindungi oleh Panglima Komando Wilayah
Sumatera, Leftenan Jenderal Ahmad Tahir, telah mengumpul dan menyatukan
sebanyak 17 organisasi masyarakat Melayu dan membentuk payung organisasi
bernama MAJLIS ADAT BUDAYA MELAYU INDONESIA (MABMI) .
Sehingga
kini, adat budaya Melayu masih banyak yang hilang akibat terputusnya dua
generasi pada masa mula revolusi sosial dan sepanjang zaman pemerintahan
Sukarno. Walaupun kini telah ada yang berusaha menggali khazanah budaya Melayu
Sumatera Timur tetapi itu belum cukup tanpa bantuan dari orang orang Melayu di
seluruh penjuru dunia.
Para pecinta
sejarah Indonesia kini menyesali keterlanjuran masyarakat yang mudah ditipu
oleh pihak komunis yang kononnya pro-rakyat yang meniup fitnah demi merampas
kuasa pemerintahan dengan jalan mudah.
Sumber : IbrahimBaba
https://www.aerill.com/2018/06/peristiwa-runtuhnya-kesultanan-melayu-indonesia.html
.