Total Pageviews

Tuesday, 11 December 2018

Empat lelaki belasah Muhammad Adib dibebas



Empat lelaki disyaki belasah Muhammad Adib dibebas dengan jaminan






PETALING JAYA - Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan empat suspek yang disyaki membelasah anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, di pekarangan kuil Maha Mariamman , USJ, Subang Jaya, dibebaskan. 

Majistret Nurshahirah Abd. Salim membenarkan dua daripadanya dibebaskan dengan bon mahkamah berjumlah RM2,000 manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

Kesemua suspek diwakili peguam R. Sritheren. 

Semua suspek berusia lingkungan 21 hingga 24 direman bermula Jumaat lalu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. 

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib yang merupakan anggota dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya patah tulang rusuk selepas dipercayai dibelasah kumpulan perusuh di pekarangan Kuil Maha Mariamman, USJ, Subang Jaya. 

Dalam perkembangan sama, seorang lagi lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kekecohan yang berlaku di kuil berkenaan. 

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd. Ikhwan Mohd. Nasir terhadap lelaki itu tadi. Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).




.

Pemergian Adib ditangisi ramai



Pemergian Adib ditangisi ramai




PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa sedih dengan berita kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam tadi.

Melalui laman Twitter rasminya, @chedetofficial, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Innalillahiwa innailaihi rajiun.. Saya amat sedih menerima berita ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib atas pemergian beliau,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga turut berkongsi kesedihan melalui laman Twitternya, @drwanazizah.

“Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. Saya cukup hiba mendengar pemergian saudara Muhammad Adib. Takziah diucapkan buat keluarga, sahabat handai dan seluruh warga bomba.

“Saya doakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-fatihah,” kata beliau.

Ucapan takziah dan rasa sedih turut dikongsikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mengetahui berita kematian Muhammad Adib menerusi satu sesi ‘live’ di media sosial.

“Saya berasa amat sedih. Selepas sesi live tadi saya dimaklumkan bahawa anggota bomba kita Muhammad Adib Mohd Kassim telah pulang ke rahmatullah.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga roh ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” kata beliau menerusi laman Twitternya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam satu kenyataan, turut menzahirkan rasa duka cita dengan berita itu dan berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa pelakunya ke muka pengadilan.

“Saya mengulangi keyakinan akan kemampuan PDRM dan Jabatan Peguam Negara untuk menyempurnakan siasatan terhadap kes ini.

“Sekiranya terbukti wujudnya elemen jenayah maka saya berharap penjenayah terbabit akan segera dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya atas tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini.,” kata beliau.

Turut berkongsi pendapat sama adalah Mufti Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku yang menyebabkan Muhammad Adib cedera dalam kejadian itu.

“Hari ini adalah hari berduka bagi seluruh rakyat Malaysia. Kami menuntut supaya tragedi ini tidak tamat di sini sahaja.

“Ianya patut diselesaikan secepat mungkin oleh pihak berwajib dengan seadil-adilnya,” kata beliau di Twitter.

Dalam pada itu, ribuan netizen melalui laman Facebook dan Twitter turut mengucapkan takziah dan memberikan kata-kata semangat kepada keluarga Muhammad Adib selain berkongsi kesedihan masing-masing dengan berita mengejutkan itu.




Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 11:39 PM






.

JBPM Kedah urus pengebumian jenazah Adib



JBPM Kedah urus pengebumian jenazah Adib






JENAZAH Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia malam tadi, dijangka akan dikebumikan mengikut istiadat kebombaan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah esok.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohd Zahar Abdullah berkata, kerja menggali liang sudah dilakukan anggotanya sebaik menerima berita Muhammad Adib meninggal dunia pada 9.41 malam.

Beliau berkata, seramai 200 anggota dari JBPM Kedah akan ditugaskan bagi menyambut ketibaan jenazah dan menguruskan upacara pengebumian sehingga selesai.

“Majlis penghormatan terakhir ke atas Allahyarham Muhammad Adib akan dibuat di rumah keluarganya esok.

“Turut akan mengiringi jenazahnya adalah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohamad Hamdan Wahid dan beberapa tetamu kenamaan lain dijangka hadir untuk upacara pengebumian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kedah di Alor Setar, tengah malam ini.

Terdahulu JBPM Kedah mengadakan mesyuarat khas selepas Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

Mohd Zahar berkata, setakat ini segala kemudahan pengangkutan yang akan digunakan untuk proses pengebumian sudah disiapkan.

“Pegawai kita juga sudah meninjau lokasi pengebumian malam ini dan persiapan rapi menyambut jenazah Allahyarham sedang dilakukan.

“Bagi pihak JBPM Kedah, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Adib atas pemergiannya,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 1:23 AM







..