Total Pageviews

Tuesday, 11 December 2018

JBPM Kedah urus pengebumian jenazah Adib



JBPM Kedah urus pengebumian jenazah Adib






JENAZAH Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia malam tadi, dijangka akan dikebumikan mengikut istiadat kebombaan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah esok.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohd Zahar Abdullah berkata, kerja menggali liang sudah dilakukan anggotanya sebaik menerima berita Muhammad Adib meninggal dunia pada 9.41 malam.

Beliau berkata, seramai 200 anggota dari JBPM Kedah akan ditugaskan bagi menyambut ketibaan jenazah dan menguruskan upacara pengebumian sehingga selesai.

“Majlis penghormatan terakhir ke atas Allahyarham Muhammad Adib akan dibuat di rumah keluarganya esok.

“Turut akan mengiringi jenazahnya adalah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohamad Hamdan Wahid dan beberapa tetamu kenamaan lain dijangka hadir untuk upacara pengebumian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kedah di Alor Setar, tengah malam ini.

Terdahulu JBPM Kedah mengadakan mesyuarat khas selepas Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

Mohd Zahar berkata, setakat ini segala kemudahan pengangkutan yang akan digunakan untuk proses pengebumian sudah disiapkan.

“Pegawai kita juga sudah meninjau lokasi pengebumian malam ini dan persiapan rapi menyambut jenazah Allahyarham sedang dilakukan.

“Bagi pihak JBPM Kedah, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Adib atas pemergiannya,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 1:23 AM







..

Pemergian Adib Dah jadi kes bunuh





Pemergian Adib: Dah jadi kes bunuh





POLIS mengklasifikasikan semula siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim daripada cuba bunuh kepada bunuh.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, kes berkenaan kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian Muhammad Adib ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.

“Kes itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba bunuh, ekoran kecederaan yang dialami oleh Muhammad Adib dalam kejadian di Seafield, Subang Jaya pada 26 November lalu.

“Namun kes itu diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Adib, 24, disahkan meninggal dunia pada 9.41 malam tadi selepas tiga minggu bertarung nyawa akibat parah dibelasah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada 27 November lalu.

Semalam, pihak IJN memaklumkan tahap kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur.

Pihak IJN mengambil keputusan memasukkan semula sistem Veno-Venous ECMO pada 9 malam semalam untuk membantu keperluan sistem pernafasannya.

Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam satu sidang media di IJN tadi, mengesahkan Muhammad Adib meninggal dunia.





Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 11:59 PM






.

Jenazah Adib dibedah siasat




Keluarga setuju jenazah Adib dibedah siasat





KELUARGA Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim memberi persetujuan jenazah anggota bomba itu dibedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pagi ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, jenazah arwah akan dibawa ke kampung halamannya di Kedah menggunakan jalan darat selepas selesai proses bedah siasat itu.

“Pada hari pertama kejadian (rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu) kita berjanji pada keluarga Muhammad Adib untuk menjaga kebajikan arwah dan keluarga.

“Kerajaan akan memberikan bantuan pada setakat yang kita mampu,” katanya ketika ditemui media di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya menyediakan pasukan perubatan terbaik untuk melancarkan proses bedah siasat arwah.

“Pasukan HKL sudah bersedia, pasukan forensik HKL yang berada di sini (IJN) diketuai Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL (Dr Mohd Shah Mahmood) juga sudah bergegas ke HKL.

“Sangat penting juga untuk faham bahawa kita sudah menyediakan pasukan terbaik di IJN.

“Kita doakan roh arwah dicucuri rahmat,” katanya.





Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Disember 2018 @ 12:56 AM





.